Umum mengetahui tentang hubungan yang terjalin antara pelakon Anne Ngasri dengan penyanyi Singapura, Aliff Aziz. Biarpun sering dilihat keluar bersama-sama, namun kedua-dua mereka lebih selesa memberitahu yang mereka masih lagi dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.
Menyentuh mengenai hubungan mereka, baru-baru ini GUA ada dengar kononnya keluarga Aliff datang dari Singapura untuk bertemu dengan keluarga Anne. Tertanya-tanya juga adakah mereka datang untuk merisik Anne? Bagi mendapatkan kepastian, GUA terus menghubungi Anne untuk bertanyakan mengenai hal ini.
“Ya, memang ada keluarga dia datang berjumpa dengan keluarga saya pertengahan bulan lalu. Tapi tujuan mereka datang hanya untuk mengenali lebih rapat dengan keluarga saya. Kiranya pertemuan mereka adalah untuk berkenalan sesama keluarga. Kebetulan masa itu mereka datang Kuala Lumpur sebab nak melawat Aliff yang tengah menjalani penggambaran di sini. Waktu itu saya tak ada di Malaysia sebab pergi mengerjakan umrah,” ujar Anne membuka bicara.
“Buat masa sekarang, saya tak nak letak status apa-apa dalam hubungan kami. Apa yang boleh saya katakan, kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya tak nak hipokrit tentang hubungan kami, tapi apa yang boleh saua katakan, kami memang agak rapat dan sering keluar bersama. Saya memang selesa dan serasi bila bersama dengan dia.
“Mengenai soal kahwin pula, kami belum fikir lagi. Banyak lagi proses di mana saya nak tahu lebih lagi pasal dia. Memang sesiapa saja yang nak berkawan pasti nak mengakhiri dengan perkahwinan, tapi semuanya terletak pada kuasa Allah. Apa yang saya boleh cakapkan, buat masa sekarang, kami memang tak bercakap lagi pasal perkahwinan.”
Ditanya apakah yang membuatkan dia tertarik dengan Aliff walaupun sebelum ini banyak perkara negatif yang didengar mengenai Aliff, Anne menjawab, “Walaupun banyak orang kritik tentang hubungan kami, tapi saya tak kisah. Saya bukan Tuhan untuk menghukum dia. Semua manusia pernah melakukan kesilapan dan selagi saya dan dia menuju ke arah kebaikan, saya tak kisah.
“Bagi saya, banyak benda yang okay tentang dia. Saya suka dengan peribadi Aliff. Alhamdulillah, dia juga rapat dan selesa dengan anak-anak saya dan itulah sebab utama yang buat saya suka dan semakin rapat dengan dia. Dia juga rapat dengan keluarga saya. Selain itu, dia juga bukan laki orang, itu yang buat saya selesa dengan dia,” ujar Anne memberitahu tidak kisah dengan jarak usia mereka.
“Mengenai usia, saya tak fikir sangat. Selagi saya rasa serasi, tak ada masalah. Mengenai status janda saya pula, setakat ini dia tak ada masalah. Kalau tidak, masakan dia nak ambil risiko untuk mengenali saya dengan lebih rapat. Saya gembira kerana dia terima saya seadanya,” ujar Anne yang mula rapat dengan Aliff sejak empat bulan lalu ketika menjalani penggambaran drama ‘Antara Kita’.
Dalam perkembangan lain, ibu kepada tiga putera ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri ‘Opah’ untuk RTM. Sebelum mengakhiri perbualan, Anne sempat memberitahu, andai hubungan mereka ke gerbang perkahwinan, dia tidak akan sembunyi perkara tersebut kepada umum.
0 comments:
Post a Comment