Terdapat suatu kisah di mana ada seorang lelaki dari Singapura menyewa sebuah rumah di kawasan perumahan Kuala Lumpur. Namun semenjak ia menyewa di sana, sering berlaku kejadian pelik di kawasan perumahan tersebut. Ikuti kisahlelaki ini di bawah. Sekadar gambar hiasan
Tentunya saya ada kisah yang menyeramkan, yang ingin saya kongsi bersama para pendengar, terutama sekali rakan-rakan saya yang kini berada di tanahair Singapura. Ketika saya melakarkan emel ini, saya sedang berada di pejabat saya di Cheras, Kuala Lumpur. Kini jam menunjukkan 12.41 tengah malam. Saya seorang warga Singapura, yang telah bermastautin di Kuala Lumpur. Saya ditawarkan bekerja dengan sebuah syarikat rakaman di KL. Walaupun saya jauh dari tanah air, tidak pernah saya lepas dari rancangan KC yang sering saya dengar melalui internet di pejabat saya. Pekerjaan saya amat memenatkan. Mengarang lagu dan lirik sehingga lewat pagi. Jadi beginilah kisahnya.
Pada 12 Jun 2012, ketika itu, saya sedang memandu dalam perjalanan ke rumah, dari pejabat di Cheras, ke kawasan perumahan Mont Kiara. Memang itu kawasan elit, dan terdapat ramai orang kaya menetap di situ, tetapi tidak termasuk saya, kerana rumah itu hanyalah rumah yang disediakan oleh syarikat. Sedangkan Yusry KRU tinggal di situ, tapi tak tahu mana satu rumahnya. Kereta yang saya gunakan pun kepunyaan syarikat.
Memang rumah itu besar dan mewah. Rumah itu mempunyai enam bilik. Malangya yang tinggal di situ hanya saya seorang. Pada hari pertama apabila saya mendapat kunci pada rumah tersebut, saya amat bangga dan gembira, kerana waktu di Singapura, saya tidak dapat jejakkan langkah ke rumah seperti itu.
Pada malam pertama, saya pulang rumah lewat. Sekitar jam 3 pagi barulah saya keluar dari pejabat. Banyak sangat mesyuarat dan tugasan yang harus saya selesaikan di pejabat. Saya tiba di Mont Kiara kira-kira jam 3.30 pagi. Oleh kerana rumah saya yang paling hujung, saya terpaksa lalu beberapa rumah. Tiba di jalan yang kecil itu, saya memang gemar memandu dengan perlahan, kerana ingin lihat kereta mewah, yang kebanyakkannya meletakkan kenderaan mereka di luar rumah. Perlahan-lahan memandu, saya menikmati pengalaman melihat kereta Lamborghini, Ferrarri, BMW, Mercedes dan lain-lain. Memanglah sunyi dan sepi.
Sedang saya menikmati melihat kereta-kereta mewah tersebut, tiba-tiba saya terdengar ketukan kuat di bahagian belakang kereta saya. Dengan pantas, saya ”jam brake”, keluar dari kereta dan cari apa yang telah saya langgar. Tetapi satu benda pun tidak kelihatan. Oleh kerana saya berada di depan kediaman orang, saya bergegas masuk ke dalam kereta dan sambungkan perjalanan, takut-takut mengganggu orang lain yang sedang nyenyak beristirehat. Di lorong kecil itu, saya tidak boleh memandu lebih dari 20 KM/J. Ikutkan hati memang saya nak pecut, tetapi takutkan pula ada rodaan polis. Maklumlah, merantau di negeri orang. Tingkah laku harus dijaga.
Sedang saya memandu, saya terbau bangkai. Amat busuk sekali. Kata saya dalam hati, ”Alamak, terpijak bangkai pula…” Saya memang sudah tahu, yang bangkai itu bukan punca dari saya, kerana baunya datang dari belakang. Saya tak nak takutkan diri saya. Saya pun pecut, dengan kelajuan 50KM/J, tak kira lah ada rodaan polis ataupun tidak.
Akhirnya, saya tiba di luar rumah saya. Pagar rumah pun buka secara otomatik. Sesudah meletakkan kereta, saya pun keluar, dan dengan segera buka kasut, untuk mencari punca pada bau bangkai. Memang tepat andaian saya. Memang bangkai itu bukan datang dari kasut saya. Bukan kerana saya terpijak bangkai, atau apa pun. Saya kembali ke kereta saya, dan dapati bau itu sudah hilang. Saya pelik. Oleh kerana saya sudah penat, saya pun masuk tidur.
Keesokan hari, saya bangun tidur dan dapati saya berada di bilik bawah, iaitu bilik yang digunakan untuk pembantu rumah. Saya bangun dalam keadaan gelabah dan terkejut. Setahu saya, saya tidur di bilik saya, iaitu di tingkat atas. Macam mana saya boleh berada di bawah??? Memanglah menyeramkan. Saya duduk di atas katil, termenung dan terfikir-fikir. Saya bergegas ke pejabat seperti biasa. Saya tidak mahu memikirkannya. Saya pun menceritakan kisah saya dengan rakan kerja saya.
Saya: “Izad (Bukan nama sebenar), semalam, aku tidur di bilik aku. Pagi tadi aku bangun kat bilik dapur. Malam ni kau tidur rumah aku boleh? Temankan aku lahh’…’
Izad : “Kau gilakah? Entah-entah semalam kau pergi minum arak, dah mabuk. Lepas tu dah tak ingat yang kau tidur bilik mana. Dah tu kau bagi tahu aku yang kau kena kacau?”
Saya pun menekankan, yang saya tidak minum atau mabuk pada malam sebelumnya.
Saya : ”Semalam, kau telefon aku di pejabat jam 1.30 pagi, dan aku yang jawab. Agak-agak kau aku mabuk ke malam semalam?”
Beliau terdiam seketika.
Izad: “Kau biar betul?”
Saya: ”Kalau aku tipu kau, aku boleh dapat juta-juta ringgit ke?”
Izad pun setuju untuk menemani saya untuk malam itu.
Hari itu, saya pulang awal. Saya keluar dari pejabat pada jam 5 petang. Izad telah berjanji untuk datang ke rumah saya pada jam 9 malam. Izad memang suka mengkaji tentang kegiatan paranormal. Memang tidak silaplah saya memanggil dia datang ke rumah.
Tepat pada jam 9, beliau pun bunyikan ”horn” di depan pagar rumah saya. Walaupun setelah saya buka pagar rumah saya, beliau tidak masuk. Beliau tawaf kenderaan beliau seakan mencari sesuatu. Saya pun keluar.
Saya: “Jat, apa yang kau cari?”
Izad: “Tadi aku rasa aku terlanggar benda lah. Tak tahu apa. Tapi ada bunyi kuat kat sebelah belakang. Aku tak berhenti. Aku terus ke sini…”
Saya pun teringat kejadian yang sama, yang terjadi pada saya hari sebelumnya.
Izad: “Tadi aku bau bangkai. Ni dah hilang. Kelakar seram lah…”
Saya hanya berdiam diri. Saya menjemput dia masuk ke dalam rumah. Beliau duduk di sofa saya, sambil menghidupkan puntung rokok. Lantas, saya pun menceritakan kisah yang sama yang terjadi.
Saya: “Semalam, aku balik dalam pukul 3 lebih pagi gitu. Aku pun terdengar bunyi yang sama yang kau alami. Tapi aku berhenti, keluar dan cari apa yang aku dah langgar. Bila aku dapati yang aku tak langgar apa-apa, aku pun sambung perjalanan lah. Dalam kereta, aku bau busuk. Bau bangkai. Datangnya dari belakang. Aku tak tengok cermin. Aku segan nak tengok wajah dia…”
Izad: “Aku rasa, kau terlanggar makhluk atau jin kot?”
Sedang kami berbual, kedengaran pinggan jatuh berkecai di dapur. Kami berdua bergegas ke dapur, tetapi tidak kelihatan apa-apa. Walaupun kedengaran pinggan pecah, kami tidak nampak sebarang serpihan kaca. Kami berdiri tegak, dan kedengaran pula hempasan pintu di tingkat atas. Kami berdua pun lari ke tingkat atas, dan memang semua pintu bilik terbuka. Izad dan saya menyemak semua bilik, satu per satu. Semua lampu dihidupkan. Bila kami tidak jumpa apa-apa, kami pun turun ke ruang tamu.
Kami berdua berdiam diri, sambil tersandar di sofa sambil merokok. Tiba-tiba, Izad bangkit dan bergegas ke bilik kecil di dalam dapur. Saya pun mengekorinya. Saya cuba mengisyaratkan sesuatu padanya tetapi beliau menyuruh saya diam. Kami pun berdiri di depan bilik kecil itu. Pintu bilik itu memang tertutup. Beliau memberi isyarat dan menyuruh saya buka. Bila saya buka, kelihatan seorang wanita sedang duduk di atas katil.
Saya lari keluar dari rumah, tanpa pedulikan Izad. Dari luar kedengaran suara memanggil, “Azlan… Azlan…” Suaranya amat menyeramkan. Bila di luar, baru saya sedar yang Izad masih di dalam. Lampu di dalam rumah semuanya terpadam, dan Izad tidak keluar lagi. Saya dah tak tahu apa nak buat. Saya pun menjerit meminta pertolongan. Datang seorang pakcik, bersama isterinya. Saya menceritakan pada pakcik tersebut, dan pakcik tersebut langkah masuk ke dalam. Entah bagaimana, pintu rumah saya terkunci dari dalam, Pakcik itu terpaksa pecahkan pintu itu. Anjing di sekeliling kawasan perumahan itu mula menyalak tanpa henti. Sepuluh minit kemudian pakcik itu pun keluar, sambil mengheret Izad, yang dalam keadaan seperti disampuk. Saya dan pakcik itu memegangnya dengan kuat, tetapi beliau amat kuat. Dengan bacaan mentera, yang bukan datangnya dari Al-Quran, Izad meraung di lantai. Matanya merah dan wajahnya pucat.
Waktu pakcik itu sedang membaca mentera, angin yang kuat menyapa tubuh. Akhirnya, Izad memberi jeritan yang amat kuat, tetapi suaranya seperti suara campuran lelaki dan perempuan. Saya tak tahu macam mana nak terangkan. Kemudian, beliau pengsan. Semuanya berakhir. Lampu di dalam rumah pun menyala dengan tiba-tiba. Saya dan pakcik mengangkat Izad ke dalam rumah saya. Isterinya pun turut mengikut masuk.
Izad terlantar di atas sofa. Pakcik yang berasal dari Perlis itu pun bertanya dalam loghat orang Perlis. Saya cuba untuk memahaminya, dan menjelaskan padanya apa yang berlaku hari sebelumnya. Rupa-rupanya, kata beliau, sesiapa yang tinggal di kawasan rumah saya, yang harus menempuhi jalan yang sama, iaitu jalan yang saya diganggu itu, harus pulang ke rumah sebelum Maghrib. Kalau harus pulang lewat, jangan hiraukan apa-apa bunyi yang ketika dalam perjalanan. Di salah satu tiang lampu, ada tanda menyatakan ”Jalan ini ‘kotor’. Berhati-hati”. Tetapi ia ditulis dalam bahasa Cina. Sesiapa yang keluar dari kenderaan, makhluk itu akan ikut pulang ke rumah.
Apa sebab kehadiran makhluk itu tidak diketahui. Pakcik itu beredar dari rumah bersama isterinya, meninggalkan saya dan Izad. Oleh kerana badi yang masih ada di dalam diri, saya pun memaksa diri untuk tidur.
Keesokkannya, saya menceritakan apa yang terjadi pada Izad. Kata beliau, beliau nampak wanita yang cantik sedang duduk di atas katil. Wanita itu pun datang kepadanya. Beliau ingin lari, tetapi beliau dipukau. Seterusnya, beliau tidak ingat apa yang terjadi.
Sehingga sekarang, saya masih menetap di rumah yang sama. Jikalau saya harus pulang lewat, saya akan tidur di pejabat.
Ingin saya ucapkan pada Terima Kasih pada Datuk Amri, pakcik yang telah menolong saya pada malam itu. Kini, beliau sudah berpindah, dan pertolongon beliau masih ada di ingatan.