Kekuatan di dalam dakwah Nabi Muhammad saw terhadap kaum musyrikin Quraisy adalah dengan adanya kekuatan dari segi ekonomi dan kekuatan dari segi politik. Ya, tepat sekali dan kenapa begitu? Kerana Khadijah Binti Khuwalid yang merupakan isteri Nabi Muhammad saw adalah seorang saudagar wanita yang kaya dan sering membantu Nabi saw di dalam menggerakkan dakwah Islam Nabi saw dan para sahabat. Dari segi lain pula, faktor politik di mana Abu Talib yang merupakan bapa saudara Nabi saw yang membantu dalam gerakan dakwah Nabi Muhammad saw dari sudut sokongan moral tetapi tidak terkesan dalam dirinya untuk memeluk Islam.
- Gambar Hiasan - |
Walaupun Islam tidak berkembang dengan kuat di Makkah tetapi apabila terdapat dua sumber kekuatan dari segi ekonomi dan politik, maka jelas bahawa Nabi Muhammad dan para sahabat masih mampu untuk meneruskan perjuangan mereka menegakkan panji Islam. Tetapi kemuncak dakwah Nabi Muhammad saw tiba setelah terjadinya tiga fasa penentu mengikut kronologi sejarah iaitu:
Fasa pertama: Abu Talib meninggal dunia, hilang kekuatan dari segi politik dan sokongan moral.
Fasa pertama: Abu Talib meninggal dunia, hilang kekuatan dari segi politik dan sokongan moral.
Fasa kedua: Khadijah meninggal dunia, hilang kekuatan dari segi ekonomi dan pembakar semangat dakwah serta ringanan beban yang dihadapi. Pada ketika ini, dinamakan “Tahun Dukacita”.
Fasa kertiga: Pemulauan kaum musyrikin Quraisy Makkah terhadap dakwah Nabi Muhammad saw.
Dalam keadaan ini, sudah pasti Nabi Muhammad saw tertekan dengan cabaran dan dugaan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Quraisy Makkah pada ketika itu. Namun, Nabi Muhammad saw masih teguh di landasan perjuangannya dalam membawa wahyu yang diturunkan oleh Allah swt. Apabila dakwah Nabi saw tidak berkesan di Makkah, Baginda memikirkan masyarakat di luar Makkah dan sasaran Baginda adalah Taif. Tetapi dugaan di Taif lagi dahsyat berbanding di Makkah.
Masyarakat di Taif tidak menerima dakwah Nabi saw tambahan pula dihasut pula kanak-kanak supaya tidak mempercayai kata-kata Nabi saw malah dibaling batu, tahi dan berbagai najis. Seperti mana yang diceritakan di dalam kitab sirah ar-rahiq al-makhtum:
Rasulullah berada di kalangan penduduk Ta’if selama sepuluh hari, dengan mengajak mereka kepada Islam, tidak ada seorang pembesar pun yang tidak didakwahnya, tetapi sebagai jawapan mereka berkata: Ayuh keluarlah kamu dari bumi ini, seterusnya mereka memprovokasi dan mengapi-apikan golongan-golongan bodoh dan hamba-hamba sahaya mereka, supaya memaki hamun Rasulullah, malah mereka berbaris di sepanjang jalan keluar ke Ta’if, untuk melontar Rasulullah dengan anak-anak batu disertai maki cerca dan sumpah hamun yang tak terperi, hingga pecah dan luka-luka kaki Baginda, darah melumuri kasut Baginda manakala Zaid bin Harithah pula membentengkan badan Rasulullah dengan dirinya hingga luka kepalanya, golongan bodoh ini terus menghentam Rasulullah dengan lontaran anak-anak batu kerikil, hingga terpaksa Rasulullah berlindung di tepi tembok kepunyaan Utbah dan Syaibah dua orang anak lelaki Rabi’ah, tembok berkenaan jaraknya tiga batu dari Ta’if, setelah berlindung di situ barulah budak-budak nakal dan hamba sahaya suruhan kaum di Ta’if reda dan berpatah balik, di situ Rasulullah berteduh di bawah para pokok anggur dan menyandarkan belakangnya ke tembok lalu berdoa kepada Allah dengan doa yang amat terkenal, doa itu membayangkan isi hati Rasulullah yang melimpah dengan dukacita yang amat sangat, dengan apa yang telah dihadapi di Ta’if sana, dan kesal Baginda yang tak terkira kerana tiada siapa pun yang menyahut seruan dakwahnya.
Kemudian, Nabi saw merintih di dalam doa setelah tiada yang menyahut seruannya:
اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس ياأرحم الراحمين أنت أرحم الراحمين أنترب المستضعفين وأنت ربي إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني أم إلى صديق مكلته إمري إن لم يكن بكغضب علي فلا أبالي ولكن عافيتك هي أوسع لي أعوذ بنور وجهك الذي أضاءت له السموات و الأرضوأشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والأخره أن ينزل بي غضبك أو يحل علي سخطك لك العتبىحتى ترضى ولاحول ولاقوة إلابك
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku ? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”
Lihatlah betapa tabahnya Nabi Muhammad saw dalam menjalani kehidupannya sebagai utusan wahyu umat akhir zaman walau seteruk mana cabaran tetap bertahan hingga akhir hayat. Haruslah kita sebagai umat Muhammad mencontohinya walaupun sedikit kerana hikmah mencontohi Nabi Muhammad saw dalam mendepani ujian adalah agar kita dapat merasai kenikmatan di dalam ujian dini hari. Jangan pula kita sentiasa sebut “Nabi lain, kita lain..sapalah kita nak banding dengan Nabi jauh beza tu”. Seharusnya kita cuba juga untuk mencontohi Nabi walaupun kita tak mampu dalam perihal kesabaran ini.
Apabila Nabi Muhammad SAW dipulau oleh masyarakat di Taif, dalam keadaan hendak melarikan diri daripada dibaling batu, Baginda telah menghampiri dua buah kebun yang merupakan kebun Utbah Bin Rabiah dan Syaibah Bin Rabiah. Utbah dan Syaibah walaupun mereka ini merupakan musuh ketat kaum muslimin tetapi apabila melihat Nabi saw dalam keadaan luka yang teruk, simpati mereka terkesan sehingga menyelubungi jiwa mereka. Diberikan pelindungan tempat berteduh dan makanan merupa buah anggur. Sezalim mana pun musuh pasti ada sekecil simpati terhadap insan lain apabila terdapat kesusahan pada diri seseorang itu.
Pengajaran di dalam kisah ini adalah pentingnya peranan kaum kerabat dalam membawa peranan dakwah Islam ke tahap yang tinggi sekalipun mereka tidak bersama dengan kita di dalam seruan dakwah tetapi mereka bersama di dalam sokongan dan bantuan. Peranan wanita sebenarnya sangat penting dan telah terbukti bahawa wanita banyak memainkan peranan di dalam Islam. Sebagaimana Khadijah iaitu isteri Nabi saw, maka peranan isteri di dalam dakwah sangat hebat sehingga mereka boleh memberi motivasi, pembakar semangat dan meringankan bebann kepada si suami di dalam gerak dakwah. Kekentalan jiwa dalam menghadapi dugaan adalah aset terpenting dalam dakwah Islam kerana tidak pernah mereka yang berjaya di dalam dakwah tiada kekentalan jiwa kerana sesiapa yang kurang kekentalan jiwa maka, agak sukar baginya untuk mengharungi dakwahnya dengan jaya jika tiada kekentalan jiwa di dalam dirinya.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment