KISAH NABI MUHAMMAD SAW DISIHIR MELALUI RAMBUTNYA OLEH YAHUDI LAKNATULLAH | Peristiwa Yahudi menyihir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan turunnya kedua surah serentak (Surah Al-Falaq dan An-Nas) tatkala Rasulullah SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah.
Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.
Bersama bahan-bahan tersebut dibuat patung berupa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada lilin, lalu ditikam dengan sebelas bilah jarum dan disimpul dengan sebelas ikatan. Maka di takdirkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun terkena sihir selama 40 hari. Pada suatu hari ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidur maka datanglah dua malaikat, seorang di kepala dan seorang di kaki.
Disebut dalam banyak hadis sahih, seperti riwayat daripada Ibnu Abbas, Ibnu Abbas r.a., Ibnu Majjah, Muslim, An-Nasai r.a. dll.
Daripada Syaidatina Aisyah r.ha. menceritakan, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya. Perkara yang telah dilakukan, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam merasa ragu-ragu samada sudah dilakukan atau tidak dan Baginda merasakan telah melakukan sesuatu yang sesungguhnya tidak dilakukannya. Kerana itu pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah berdoa, kemudian berdoa dan berdoa lagi. Lalu datang dua malaikat berupa dua orang laki-laki menemui Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Malaikat yang berada di sebelah kaki bertanya kepada malaikat yang berada di sebelah kepala Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?”
Malaikat yang di kepala: “Thabb.”
Malaikat yang di kaki: “Apakah Thabb itu?”
Malaikat yang di kepala: “Sihir.”
Malaikat yang di kaki: “Siapakah yang menyihirnya?”
Malaikat yang di kepala: “Lubaid Al A’sham, orang Yahudi.”
Malaikat yang di kaki: “Dengan apa disihirnya?”
Malaikat yang di kepala: “Sikat dan rambut yang gugur beserta mayang kurma kering.”
Malaikat yang di kaki: “Di manakah sihir itu diletakkan?”
Malaikat yang di kepala: “Dalam bungkusan daun tamar di bawah batu besar dalam telaga keluarga Zarwan.”
Malaikat yang di kaki: “Dengan apakah kita akan merawat dan memulihkan Muhammad ini?”
Maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah‘Mu’awwidataini’(Surah Al-Falaq & Surah An-Nas).
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudiannya terjaga dari tidur, lalu mengutus Saidina Ali, Saidina Zubir dan Ammar ibnu Yasir pergi ke telaga tersebut. Sesampainya di sana, mereka melihat air telaga itu seperti rendaman daun inai… kemerah-merahan darah warnanya, manakala pokok kurmanya kelihatan bagaikan kepala-kepala syaitan. Mereka menimba airnya dan mengangkat seketul batu besar, kemudian menemui‘bungkusan berikat’ tersebut lalu mereka mengambil dan mengeluarkannya dari telaga itu, seterusnya bungkusan berikat itu disampaikan pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam. Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas), terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang.
Anas ibnu Malik ra menceritakan, “Bahawa ada seorang Yahudi berbuat sesuatu terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka kerana hal tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, ketika para sahabat datang menjenguknya, mereka menyangka, bahawa hal itu hanyalah disebabkan sakit biasa. Kemudian datanglah malaikat Jibril dengan membawa turun kedua-dua surah ini; malaikat Jibril akan mengubatinya dengan membacakan kedua surah itu. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. keluar menemui para sahabatnya dalam keadaan sihat dan segar-bugar.”
Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak membakarnya?” Baginda menjawab: “Tidak. Adapun aku, maka Allah sudah menyembuhkan aku, dan aku tidak suka kalau aku membuat keburukan kepada manusia.” Lalu Baginda memerintahkan agar dipendam barangan sihir itu.” (Hadis Riwaat Ibnu Majjah r.a.)
Dalam hadis lain: “Bahawasanya, Allah SWT telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Ketika hal itu disampaikan kepada si Yahudi tersebut, maka dia tidak lagi berani sama sekali menunjukkan mukanya pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
0 comments:
Post a Comment