KUANTAN – Dua beradik itu baru berusia 12 dan 14 tahun. Seorang daripadanya sebelum ini menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran.
Namun masa depan dua kanak-kanak Orang Asli itu dibimbangi terjejas berpunca daripada satu insiden awal pagi 13 Disember lalu apabila mereka jadi pemuas nafsu dua warga Indonesia yang bekerja di Ladang Rompin Seong Thye Plantations, Muadzam Shah, Rompin.
Mengikut fakta kes, kejadian yang pasti meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dua kanak-kanak itu dan juga keluarga mereka berlaku antara jam 1.30 hingga 5 pagi.
Pada mulanya, kehilangan dua beradik itu disedari keluarga mereka kira-kira jam 6 pagi, 15 Disember setelah mendapati mereka tiada di bilik tidur.
Susulan itu, bapa mangsa keluar mencari dan mendapati dua anaknya berada di dalam bilik hadapan rumah dua warga Indonesia itu, Sandi, 23, dan Heri Huswandi, 22.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun sudah melarikan diri. Selepas keluarga malang itu membuat laporan polis, Sandi dan Heri dikesan dan ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Masjid, Muadzam Shah kira-kira jam 1 petang hari yang sama.
Kedua-dua lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Dua pekerja kilang itu masing-masing dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah oleh Hakim Jamaludin Mat yang juga memutuskan hukuman terhadap mereka dikira bermula tarikh mereka ditangkap 15 Disember 2012.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka merayu agar hukuman diringankan memandangkan mereka masuk ke negara ini secara sah demi mencari rezeki untuk membantu keluarga.
Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan sedia mengaku salah atas kesalahan yang dilakukan sebagai tanda keinsafan walaupun terpaksa berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohd Yusoff bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh memandangkan mangsa masih di bawah umur dan sepatutnya dilindungi.
“Dalam kes ini, salah seorang mangsa (adik) merupakan murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini apabila memperoleh keputusan 2A 3B dan disebabkan kejadian itu, masa depannya mungkin agak gelap,” katanya. - Sinar Harian Online
Iklan Teks:
0 comments:
Post a Comment