Friday, November 30, 2012

Perjuangan Palestin Mula Membuahkan Hasil




Tahniah dan syabas kepada Presiden Palestin dan seluruh rakyatnya yang selama ini terus ditindas oleh rejim jahat zionis, akhirnya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Usaha yang tidak pernah kenal erti jemu sejak sekian kalinya, mendapat sokongan 138 perwakilan daripada 193 negara anggota PBB.

Mudah-mudahan dengan rahmat dan ihsan Allah, negara Palestin akan terus bergerak ke depan agar kebebasan mutlak menjadi miliknya. 


NEW YORK 30 Nov. - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota dalam badan dunia itu, sekali gus memberi kekalahan diplomatik besar kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Kemenangan kepada Presiden Mahmoud Abbas di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York itu, turut mencetuskan suasana meriah di Tebing Barat apabila beribu-ribu orang meraikannya dengan melepaskan tembakan ke udara dan bersorak di bandar Ramallah.

Pengiktirafan yang disifatkan Abbas sebagai 'sijil lahir' untuk negara Palestin itu mendapat undian 138 daripada 193 negara anggota PBB.

Sembilan negara termasuk AS dan Israel menentang undi tersebut, manakala 41 lagi negara seperti Britain dan Jerman, mengambil pendirian berkecuali.

Bendera Palestin turut dikibarkan di UNGA selepas kemenangan itu diumumkan, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam ucapan Abbas yang disifatkannya sebagai 'menyakitkan hati'.

Pengiktirafan itu menyebabkan status Palestin di PBB kini dinaik taraf daripada entiti pemerhati kepada negara pemerhati bukan anggota iaitu sama seperti status yang dimiliki oleh Vatican City.

Walaupun Palestin masih tidak layak untuk mengundi dalam UNGA, tetapi negara itu boleh menyertai agensi-agensi PBB lain terutamanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), membolehkan siasatan dilakukan ke atas kekejaman Israel.

Menurut Abbas, pengiktirafan itu akan digunakan sebagai landasan kepada penyambungan semula rundingan secara langsung dengan Israel yang telah dibekukan selama lebih dua tahun.

AS dan Israel segera mengecam undian itu dengan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menyifatkannya sebagai 'tidak produktif'.

Netanyahu pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang 'tidak akan membawa makna' dan menuduh Abbas menyebarkan 'propaganda palsu' ke atas Israel dalam ucapannya di UNGA, semalam.

"Resolusi PBB itu tidak akan mengubah apa-apa dan tidak akan membawa kepada penubuhan negara Palestin, malah akan membantutkan lagi usaha tersebut," katanya. - AGENSI



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More