Wednesday, November 28, 2012

US Dan China Yakin BN Menang




Politik adalah satu perkara yang kompleks, di mana bukan mudah bagi seseorang untuk memahaminya jika tidak benar-benar terlibat di dalamnya.  Di dalam politik, jarang sekali ada sesuatu yang jelas, selalunya kabur atau berwana-warni.   Walaupun ada yang menyatakan bahawa orang Melayu hebat dalam berpolitik, tetapi kehebatan berpolitik tanpa pengetahuan yang luas tidak mampu menjamin kemenangan mahupun ‘survival’ bangsa ini.  

Hari ini, masih ramai dari orang Melayu yang berpolitik dalam gelap atau dalam tempurung.   Kerana itu, mereka mudah terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan musuh-musuh yang licik dan jauh lebih kehadapan.   Ramai dari kita yang tidak dapat memahami kaitan antara politik negara dengan rangkaian percaturan politik dunia.

Sedangkan, tangan-tangan negara yang kuat telah jauh menjangkau mencaturkan politik dunia seawal kurun ke-13 lagi.  Jika sebelum itu, negara yang kuat hanya berminat untuk menyerang dan menakluk negara yang lemah secara langsung, tetapi mereka kemudiannya mempelajari cara lain yang lebih ‘selamat’ dan ‘kemas’ untuk menakluk, iaitu melalui percaturan politik.  Caranya ialah dengan menyamar sebagai kawan, melantik pemimpin boneka, memeras ugut dan menekan melalui pasaran atau mengarah dan memaksa tanpa perlu berbuat apa-apa. 

Melalui cara inilah, negara-negara ini akhirnya muncul sebagai kuasa besar dunia.  

Kita punya bukti mengenai campurtangan kuasa besar, Amerika Syarikat terutamanya, dalam politik dunia seawal tahun 1960-an.  Beberapa bekas pemimpin mereka, termasuk bekas-bekas perisik yang terlibat di dalamnya telah pun mendedahkan perkara ini setelah dilanda penyesalan atau keinsafan.  

Suka atau tidak, akibat kita gagal menguasai ilmu seperti mereka, maka kita kini berada dalam keadaan di mana kita tidak dapat mengelak dari mengiktiraf kepentingan kuasa-kuasa besar ini dalam politik negara.  Namun, kebijaksanaan, sifat amanah serta tanggungjawab yang tinggi dalam barisan kepimpinan negara, telah berjaya memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara yang bebas, berdaulat serta aman, makmur dan maju.  

Hari ini, kita berdiri teguh sebagai sebuah negara yang bermaruah dan berkredibiliti untuk bersikap lantang, menegur dan memberi pendapat kepada kuasa-kuasa besar dunia.  Sedikit sebanyak, suara kita tetap didengar, dan adakalanya digeruni oleh mereka, selain dikagumi atau diteladani oleh negara-negara kecil lain.  

Ini terbukti dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja yang baru lalu, di mana Datuk Seri Najib telah menuntut Amerika Syarikat bertindak segera menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.  

Apa yang membanggakan ialah, Presiden Obama bukan sahaja mengambil maklum teguran tersebut dan membuat panggilan telefon terus ke Israel bagi menyampaikannya, tetapi lebih dari itu, satu pertemuan empat mata telah dibuat dengan Dato’ Seri Najib.  Pertemuan tersebut adalah satu-satunya pertemuan empat mata yang diadakan antara Obama dengan pemimpin ASEAN sekali gus, membuktikan bahawa Malaysia punya signifikannya yang tersendiri dalam politik dunia dan bahawa kepimpinan Malaysia diiktiraf dan dihormati oleh negara kecil dan besar.  

Dalam pertemuan tersebut, pemimpin kuasa dunia itu telah menyampaikan pandangannya bahawa Amerika percaya yang BN akan kekal memerintah dan program transformasi Dato’ Seri Najib telah benar-benar berjaya.  


Lebih menarik ialah pandangan yang sama juga disampaikan oleh kuasa besar ke-2 dunia, iaitu China.   Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah menyatakan demikian secara terbuka di samping mengulangi keyakinannya terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib dan Malaysia, yang dianggap sebagai sahabat paling dipercayai di rantau ini.   

Memahami signifikan pandangan kuasa besar terhadap keputusan pilihanraya sesebuah negara ialah dari segi kehebatan perisikan mereka, iaitu elemen asas yang meletakkan mereka sebagai kuasa besar.  Perisikan mereka jarang tersilap dalam membuat perkiraan.  Untuk itu, kita perlu faham bahawa ‘kesilapan’, jika ada dalam kamus perisikan mereka, sepertimana tersilap mengebom penempatan awam dan bukan kubu tentera di Iraq, kemungkinan besar bukan satu kesilapan tetapi disengajakan.  

Dan apabila kuasa besar menyatakan yang BN menang, maka kemungkinan perisikan mereka silap memberi maklumat adalah amat tipis sekali.  Justeru, pembangkang mungkin perlu lupakan sahaja hasrat untuk menawan Putrajaya dalam PRU kali ini.  

Selain kuasa besar, turut menyatakan keyakinan bahawa BN akan memenangi PRU kali ini ialah Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono serta Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.   

Kedua-dua pemimpin jiran ini amat ‘dekat’ dengan politik Malaysia memandangkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim adalah satu personaliti yang tidak asing lagi bagi mereka.  Indonesia, bagaikan negara kedua Anwar yang digunakan sebagai pentas untuk meluahkan segala kebenciannya terhadap negaranya sendiri.  Singapura pula adalah tempat di mana beliau sering masuk ‘perangkap’ sepertimana yang didedahkan oleh laman Wikileaks.  

Dengan itu, kita pasti pemimpin-pemimpin ini bukan bercakap ‘di atas angin’ tetapi berdasarkan maklumat risikan, pemerhatian dan fakta-fakta jelas.    

Nampaknya eloklah Anwar, Kit Siang, Karpal, Nik Aziz, Hadi Awang semuanya duduk dan fikirkan semula strategi mereka, ataupun pakatan mereka atau lebih baik lagi, nasib mereka selepas pilihanraya ini.  

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More