Friday, June 29, 2012

4 Perkara Yang Memberi Keberkatan Kepada Umur


TIADA seorang manusia pun yang mengetahui jangka hayat usia kecuali Allah. Namun, yang mustahaknya ialah bagaimana tempoh hayat yang diberikan Allah itu dapat dimanfaatkan agar memperoleh keberkatan.

Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W. pernah meninggalkan satu pesanan amat berharga buat kita. Kata Rasulullah SAW bermaksud: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).

Inilah empat perkara yang seharusnya kita jadikan budaya hidup dalam usaha mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perkara pertama yang disentuh Rasulullah S.A.W. ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pengertian sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta benda pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan kekayaan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. itu.

Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W. ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah S.A.W., sedekah apakah yang paling mulia?". Lalu Baginda S.A.W. menjawab, “Sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah S.A.W. ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan tetapi masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.

Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.

Perkara kedua yang disarankan Baginda S.A.W. ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada dai atau pendakwah saja. Semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.

Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau : “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”

Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan menggiatkan satu gaya hidup saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslimin saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.

Seterusnya, perkara ketiga ialah aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah S.A.W. sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.

Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.

Allah ingatkan kita: yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.

Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah S.A.W. bermaksud : “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun, senario semasa jelas menampakkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More