Saturday, June 30, 2012

Kahwin Muda : Kebaikan atau Beban?

Bergelar seorang isteri pada usia 18 tahun bukanlah satu perkara yang mudah bagi seorang pelajar IPTA mahupun IPTS. Mana tidaknya, tanggungjawab akan menjadi semakin besar dan semakin rumit. Masa perlu dibahagikan dengan sebaik mungkin agar tidak terabai setiap tugas yang telah digalas. Mungkin ini boleh dikategorikan sebagai beban? Atau ia sebenarnya adalah satu kebaikan? Bergelar seorang mahasiswa yang berjaya adalah impian setiap remaja pada hari ini. 

Jika dilihat dari sudut umum, remaja yang berusia 18 tahun sepatutnya menjalani kehidupan mudanya bersama dengan rakan-rakan sebaya. Tetapi jika mereka sudah pun bergelar seorang isteri ataupun seorang suami. Secara tidak langsung, kehidupan mereka sebagai seorang remaja akan terbatas kerana terikat dengan status perkahwinan mereka itu. Keterbatasan dalam melakukan sesuatu perkara yang melibatkan dunia remaja juga akan terjadi. 

Pelbagai aspek yang sebenarnya perlu diambil peduli sebelum seseorang remaja itu mengambil keputusan untuk membina mahligai perkahwinan. Aspek yang paling utama adalah persediaan seseorang itu sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Jangan pula bila sudah berkahwin nanti, mula rasa menyesal dan merungut itu ini. Sudahnya perselisihan faham akan sering terjadi antara pasangan suami isteri itu nanti. Oleh hal yang demikian, persediaan untuk menempuh alam perkahwinan sangatlah penting terutamanya bagi golongan remaja yang memilih untuk berkahwin pada usia yang muda.

Faktor yang kedua penting yang perlu diambil kira adalah faktor kewangan. Dalam dunia materialistik ini, wang adalah segala-galanya. Mana tidaknya, semua perkara yang ingin kita lakukan pada hari ini akan melibatkan wang. Sebagai seorang remaja yang masih melanjutkan pelajaran di sesebuah institusi pengajian tinggi, sumber pendapatan bulanan sememangnya berada dalam keadaan yang tidak stabil. Bagaimana jika anda berkahwin pada usia yang muda, adakah anda mampu untuk mengurus kewangan anda dengan bijak dan sempurna? Belum tentu anda akan mempunyai jawapan yang tepat bagi soalan ini. Oleh itu, mintalah nasihat dari orang yang lebih dewasa dan belajarlah untuk menguruskan wang dengan lebih bijak.

Seterusnya adalah restu daripada ibu bapa. Tanpa restu daripada ibu bapa, tidak mungkin sesuatu perkahwinan itu akan mencapai kebahagiaan. Tidak semua ibu bapa yang akan membenarkan anak mereka berkahwin pada usia yang muda. Hal ini kerana mereka akan beranggapan bahawa anak mereka belum cukup matang dan bersedia untuk menguruskan keluarga. Tambahan lagi, menguruskan sesebuah keluarga bukanlah satu perkara yang boleh dipandang mudah. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Pandangan dan nasihat daripada golongan yang lebih tua amatlah diperlukan. Bak kata pepatah melayu, “Orang tua sudah makan garam terlebih dahulu”. 
Berkahwin pada usia yang muda bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng. Namun begitu, terdapat banyak juga perkara positif yang terbentuk apabila anda berkahwin pada usia yang muda. Perkara yang paling utama adalah ia dapat mengelakkan maksiat yang semakin berleluasa pada zaman ini. Masyarakat di Timur pada hari ini semakin terikut-ikut dengan budaya masyarakat Barat yang mengagung-agungkan maksiat. Kita masyarakat Timur, ada agamanya, ada adatnya. Oleh itu, bagi mengelakkan golongan ini daripada terus melakukan maksiat dan kemungkaran, maka eloklah mereka dinikahkan mengikut tuntutan agama Islam itu sendiri.

Selain daripada itu juga, berkahwin pada usia yang muda dapat menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab jika dibandingkan dengan remaja lain yang seusia dengan mereka. Rasa tanggungjawab terhadap pasangan dan keluarga akan dipupuk secara tidak langsung. Hal ini kerana mereka akan memikirkan tentang kebajikan dan keperluan pasangan masing-masing. Secara tidak langsung, ia akan menjadikan remaja tersebut akan lebih cepat bertindak dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh mereka. 

Kesimpulannya, banyak aspek yang perlu diberi perhatian sebelum seseorang remaja iti mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang muda. Pandangan dari sudut 360’ amatlah penting dalam membuat keputusan membina mahligai di dunia ini. Tambahan lagi, perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Bukan keseronokan yang dicari, tapi kebahagian dalam rumah tangga yang perlu dikecapi. Persiapkan diri dengan segala kemungkinan dahulu agar tidak berlaku perceraian pada masa yang akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More