Sekarang ni ramai yang bersikap sombong dan menghina orang lain. Lebih teruk lagi apabila ada yang menghina sesama muslim. Sifat suka menghina dan merendahkan orang lain ini timbul apabila adanya perasaan sombong dalam diri kita. Orang yang sombongi ni mereka akan memandang rendah manusia lain kerana mereka merasakan ada sesuatu kelebihan yang ada pada diri mereka.
Lihat saja contoh sifat sombong yang ada pada Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. Tak cukup dengan kesombongannya itu, malah tidak menurut perintah Allah S.W.T. dan sanggup menghina Nabi Adam a.s. dengan mengatakan kejadiannya daripada Api itu lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. yang dijadikan daripada tanah yang hina.
Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
7 Jenis Sombong Yang Dilaknat Allah S.W.T.
1. Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka. Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah S.A.W. telah mengingatkan melalui sabda Baginda S.A.W. yang bermaksud :
“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal soleh, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“
3. Sombong kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Allah S.W.T., seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi Allah S.W.T.
4. Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendahkan ciptaan Allah S.W.T. hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.
5. Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta diberi oleh Allah S.W.T. membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta BMW mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
6. Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, boleh dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya.
7. Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak parang dan dijilat api.
Oleh itu, hendaklah kita memeriksa diri kita betul-betul, lihat sama ada 7 perkara yang membawa kepada penyakit sombong ini ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong ini hanya akan memakan diri. Tidak sekarang, mungkin di masa akan datang. Ubatilah sifat sombong itu dan jangan sesekali menghina orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah S.W.T. Fikirkanlah..
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)
0 comments:
Post a Comment